Hukum Bertepuk Tangan

Soalan:
Apakah hukum bertepuk tangan? Ada yang memberitahu hukumnya haram.

Bila Seseorang Itu Bertepuk Tangan?
Di dalam sembahyang terdapat perbezaan di antara lelaki dan perempuan dalam lima perkara, antaranya:

Jika berlaku sesuatu perkara di dalam sembahyang yang memerlukan peringatan seperti mengingatkan imam apabila dia lupa, maka lelaki mengucapkan سبحان الله dengan tujuan membaca zikir dan memberi ingat.

Sementara perempuan pula, jika berlaku sesuatu perkara di dalam sembahyang yang memerlukan peringatan seperti mengingatkan imam jika dia lupa, maka perempuan bertepuk dengan memukulkan perut tapak tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri.

Ini bersandarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Mengucapkan tasbih itu untuk lelaki dan bertepuk itu untuk perempuan. (Hadith riwayat Ibnu Majah)
Daripada apa yang telah diterangkan, jelaslah bahawa bertepuk tangan itu adalah perbuatan kaum perempuan, bukan untuk lelaki.

Bertepuk Tangan Di Luar Sembahyang
Sementara di luar sembahyang pula, perbuatan bertepuk tangan itu menurut al-Qurthubi di dalam tafsirnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân adalah menyerupai perbuatan orang musyrikin. Orang-orang musyrikin pada zaman dahulu ketika mereka tawaf mengelilingi Ka‘bah, mereka bersiul-siul, menjerit-jerit dan bertepuk-tepuk tangan sebagai satu cara peribadatan menurut tanggapan mereka. Perbuatan ini perbuatan mungkar yang perlu dijauhi oleh umat Islam, tidak kira lelaki atau pun perempuan.

Bagaimanapun bagi orang-orang Islam sekarang, mereka bertepuk tangan bukanlah kerana ibadat, tidak juga kerana hendak mendekati atau “taqarrub” kepada Allah, tetapi lebih bercorak sebagai penghormatan sahaja terhadap seseorang atau apa yang dipersembahkan dalam suatu majlis, jika perkara itu layak diberikan tepukan. Bertepuk itu sekarang sudah seperti suatu adat, perkara biasa yang kita tiru atau ikut daripada orang lain untuk melahirkan “kekaguman” di dalam perkara-perkara yang mendatangkan kekaguman.

Namun memandangkan asal tepukan itu hanyalah bagi orang perempuan di dalam sembahyang, maka orang-orang lelaki Islam, eloklah tidak mengikut-ikut, supaya dapat lebih selamat tidak tergolong meniru-niru kaum lain, selaras dengan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong daripada mereka. (Hadith riwayat Abu Daud)
Lebih-lebih lagi jika yang hendak diberikan tepukan itu perkara-perkara yang tidak selaras atau bertentangan dengan hukum syara‘ seperti memberikan tepukan kepada artis-artis kerana persembahannya atau penari-penari kerana tariannya. Ini kerana dengan perbuatan bertepuk itu, seolah-olah menghormati atau merasa kagum terhadap perkara mungkar itu. Dengan demikian, kita boleh terjumlah mengongsikan diri dalam perkara-perkara mungkar itu. Dalam Islam untuk melahirkan kekaguman ialah dengan zikir seperti bertasbih atau bertakbir.

Secara umum, bagi lelaki bertepuk tangan adalah makruh, tetapi ada kalanya haram menurut setengah ulama dengan sebab-sebab tertentu.

Di dalam kitab al-Qalyubi pendapat-pendapat Ibnu Hajar dan ar-Ramli seperti berikut:
Ertinya: Ibnu Hajar berkata: “Makruh bertepuk tangan di luar sembahyang secara mutlak, walaupun dengan memukulkan perut telapak tangan ke perut telapak tangan sebelah, dengan tujuan bermain-main, serta di antara kedua tangan berjauhan ketika bertepuk. Guru kita ar-Ramli berkata: “Sesungguhnya bertepuk tangan adalah haram dengan tujuan bermain-main.” (Qalyubi, 1/216)
Kesimpulan
Bertepuk tangan di luar sembahyang adalah harus apabila ada hajat yang dianggap perlu, seperti untuk memberi peringatan, pemberitahuan atau galakan supaya hasil sesuatu kerja itu baik, atau wanita bermain dengan anak-anak kecilnya.

Adapun jika bukan kerana hajat, maka sesetengah ulama berpendapat haram dan sesetangah lagi berpendapat makruh dengan alasan bertepuk tangan itu perbuatan sia-sia atau menyerupai cara peribadatan orang-orang jahiliyyah sebagaimana yang disebutkan terdahulu, atau kerana perbuatan itu dianggap menyerupai perbuatan khusus untuk perempuan semasa sembahyang.

Sumber: http://www.mufti.gov.bn

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment